“Cukuplah menggunakan isu murahan untuk memperlekehkan saya,” kata Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.
Menteri Besar mengulas tindakan ADUN Bukit Payong, Mohd Noor Hamzah yang menjaja pembohongan terhadap beliau mengenai isu pembelian asrama pelajar tajaan Yayasan Terengganu di Mansurah, Mesir pada tahun 2010.
Ahmad Razif juga bersedia ‘memaafkan’ keceluparan Ketua Penerangan PAS Terengganu itu dan berharap kerja-kerja menabur fitnah itu dihentikan demi kebaikan bersama.
“Setakat ini tiada tindakan saman. Tapi, saya serahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya. Saya hanya mahu memastikan tiada lagi isu sebegini yang hanya akan memburukkan keadaan.
“Saya memaafkan dan berharap perkara itu tidak diteruskan. Kalau teruskan saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.
Beliau mengajak semua pihak termasuk pemimpin pembangkang memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat serta menolak politik murahan kerana ia membuang banyak masa.
“Mari bersama dengan saya untuk kita melaksanakan aspek integriti dan kebersihan berteraskan konsep Transformasi Terengganu Baharu di Terengganu, bukan dengan menghentam saya. Paling bagus jika tidak berpuas hati, datang berjumpa saya untuk kita membuat penjelasan .
“Tidak perlu (memfitnah) di pentas-pentas ceramah, menerusi SMS yang tidak tahu (status) penghantarnya serta facebook. Jadi saya nasihatkan kepada mereka yang cuba mempertikaikan integriti saya menghentikan tindakan ini, sebaliknya bersama-saya membangunkan Terengganu,”
Dalam pada itu kata Ahmad Razif, tindakan beliau membuat laporan polis semalam sebagai langkah terbaik bagi memastikan tiada pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.
Semalam, Ahmad Razif telah membuat laporan polis berhubung dakwaan yang disebarkan pihak pembangkang menerusi media sosial yang sedang diperkatakan kini, mengenai pembelian bangunan itu.
Laporan polis yang dibuat oleh Setiausaha Khas Menteri Besar, Ahmad Nidzam Abd Karim di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. teganukita.my
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !