11 Ogos 2020
1. Pagi ini saya telah berkesempatan mengikuti sesi pagi Sidang DUN Negeri Terengganu hari kedua dan bertemu dengan pengamal media di Wisma Darul Iman. Dalam sidang media saya hari ini, saya menegaskan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mutakhir ini.
2. Dalam kenyataan saya sebelum ini, saya telah mengingatkan semula tentang sejauh mana siasatan dan proses keadilan kepada tiga projek besar di Terengganu yang melibatkan jumlah yang besar wang rakyat Terengganu.
3. Setelah siasatan runtuhan bumbung Stadium Gong Badak berniai RM300 juta dibuat, anehnya tiada sesiapa di dapati bersalah.
4. Taman Ilmu Tembila di Besut bernilai Rm350 juta terbengkalai menjadi projek sakit, bangunan pentadbiran terpaksa dirobohkan dan peralatan elektrik dicuri menyebabkan kerugian jutaan ringgit.
5. Kompleks Bebas Cukai di Kenyir bernilai hampir RM300 juta masih belum dapat digunakan sepenuhnya selepas 10 tahun.
6. Demi keadilan, YAB Menteri Besar Terengganu mesti mendesak SPRM menyiasat ke akar umbi kenapa wang rakyat dibazirkan begitu sahaja tanpa diambil tindakan kepada pihak yang menyebabkan kerugian tiga projek diatas.
7. Raja Idris Kamaruddin, adik kepada Raja Petra yang menjadi orang kepercayaan YAB MB Terengganu yang dilantik menerajui GLC penting di Terengganu sepatutnya memainkan peranan mendesak kerajaan Negeri Terengganu dan SPRM menyiasat mengapa begitu banyak projek runtuh, sakit dan tidak siap.
8. Projek Taman Ilmu Tembila melibatkan berbagai kes saman di mahkamah oleh kontraktor asing dari Korea dan kontraktor kontraktor tempatan. Kes ini dipercayai berbau skandal yang besar melibatkan pegawai tertinggi kerajaan negeri. YAB Menteri Besar Terengganu mesti bertindak!
9. Apa gunanya ada kepakaran Raja Idris dan individu lain dari luar Terengganu yang memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri tetapi dilihat tidak memainkan peranan penting menasihati YAB Menteri Besar Terengganu dalam hal melibatkan kerugian wang rakyat ini.
10. Kontroversi terbaharu yang timbul ialah mengenai tersebarnya screenshot pegawai kanan YAB Menteri Besar bernama Nurul Islam yang didakwa terlibat dalam isu salahguna kuasa dan pengaruh melibatkan urusniaga kontrak pasir. Nurul Islam seperti yang didakwa dalam sebaran screenshot itu di bawa khas dari Selangor dan memegang jawatan jawatan penting di negeri Terengganu.
11. Sehingga hari ini, tiada sebarang komen atau penafian datang dari tuan punya badan iaitu Nurul Islam yang disebut jelas namanya dalam sebaran screenshot itu.
12. YAB Menteri Besar Terengganu tiada pilihan melainkan mendesak SPRM untuk menyiasat kesahihan sebaran screenshot yang melibatkan pegawainya yang telah viral di media sosial. Sebagai kerajaan yang mendukung nilai nilai Islam dalam pentadbirannya, ianya haruslah dibuktikan melalui tindakan dan kejujuran.
13. Nurul Islam juga mesti segera menafikan jika sebaran tersebut adalah tidak benar. Berdiam diri adalah sikap yang hanya akan menjejaskan kredibilti beliau sendiri dan kredibilti YAB Menteri Besar Terengganu juga.
14. Kalau isu lama seperti bumbung stadium runtuh, Taman Ilmu Tembila dan Kompleks Bebas Cukai Kenyir tiada tindakan sewajarnya sehingga sekarang, YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri mesti membetulkan semula keadaan ini pada ketika beliau berkuasa sekarang. Jika tidak, siapa lagi yang akan membetulkannya? Sampai bila kita hendak membiarkan penyelewengan itu terus didiamkan?
15. Rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu menanti nanti apa tindakan YAB Menteri Besar Terengganu sekarang ke atas penyelewengan projek projek besar yang telah berlaku sebelum ini.
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi
PAKATAN HARAPAN Negeri Terengganu
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !