Info:
Musim kemarau berpanjangan yang melanda Terengganu ketika
ini telah menyebabkan kemasukan air masin ke muka sauk Loji Rawatan Air Losong
berikutan paras air sungai lebih rendah dari paras air laut.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd
(SATU) Husain Embong berkata, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia
(JMM) musim Monsun Barat Daya iaitu musim kering bermula pada pertengahan Mei
yang berterusan hingga Sept ini.
“Jadi kesan fenomena itu telah dirasakan di daerah Kuala
Terengganu apabila paras air pasang yang tinggi telah menyebabkan berlaku
kemasukan air masin ke muka sauk Loji Rawatan Air Losong,” katanya semalam.
Dalam keadaan normal bacaan paras kepekatan garam dalam
kualiti air mentah berada di bawah 50 PPM (bahagian per juta), kata Husain yang
dipetik dari laporan Bernama.
Beliau berkata, mengikut piawaian antarabangsa dan
Kementerian Kesihatan, apabila paras bacaan kepekatan garam dalam kualiti air
mentah melebihi 250 PPM, proses rawatan air perlu dihentikan.
Namun katanya, SATU masih meneruskan operasi loji itu bagi
memastikan bekalan air dapat diterima oleh pengguna secara berterusan walaupun
rasanya kurang selesa.
Beliau berkata, bekalan air dari Loji Rawatan Air Losong
disalurkan kepada hampir 200,000 pengguna melibatkan kampung-kampung seperti
Losong, Durian Burung, Paloh, Pulau Rusa dan beberapa desa di sekitarnya.
Katanya, SATU sentiasa berusaha dan sedang memantau secara
rapi perkara ini dan proses rawatan air dikurangkan pada paras kepekatan garam
dalam air mentah yang tinggi.
Menurutnya lagi, SATU juga sedang berunding dengan Stesen
Janakuasa Elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) Tasik Kenyir untuk melepaskan
kuantiti air lebih banyak bagi mengimbangkan paras kepekatan garam dalam air
mentah di muka sauk.
“Namun perkara ini agak sukar dilakukan kerana ianya
bergantung kepada pengoperasian empangan dan penjanaan tenaga oleh TNB,”
katanya.
Beliau berkata, SATU tidak boleh menentukan atau
menjangkakan tempoh ketidak selesaan pengguna kerana ianya adalah di luar
kawalannya dan bergantung kepada faktor cuaca.
Hanya bekalan air dari Loji Rawatan Air Losong sahaja yang
menghadapi masalah ini sementara operasi pembekalan air di daerah-daerah lain
masih stabil dan berjalan seperti biasa samada dari segi kuantiti dan kualiti
air yang dibekalkan, katanya.
Loji Rawatan Air Losong mengeluarkan air sebanyak 33.2 juta
liter air sehari dan ia beroperasi 24 jam tanpa henti bagi membekalkan air
terawat kepada pengguna dengan selesa.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !