SUNGKAI - Anak sulung pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan
ngeri di Jalan Loke Yew, Cheras kelmarin mahu terus menetap di Kuala
Lumpur dan enggan dipisahkan dengan adik-beradiknya.
Mohd Haikal Jefri, 16, berkata, Allahyarham bapanya, Jefri Mohd Zain,
46, pernah berpesan kepadanya supaya menjaga adik-adiknya sekiranya
berlaku sesuatu kepada dirinya.
"Saya tidak mahu berpisah dengan adik-adik. Arwah ayah pernah berpesan
jika apa-apa berlaku padanya, dia minta saya jaga adik-adik dan mahu
saya rajin belajar,” katanya ketika ditemui di Kampung Rahmat, Changkat
Sulaiman, Sungkai, semalam.
Pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras itu
berkata, dia dan adik-adiknya enggan berpindah ke kampungnya di Sungkai
kerana tiada siapa dapat menjaga mereka di situ.
"Lagipun dua lagi adik yang berusia 14 dan 10 tahun bersekolah di
Cheras. Kalau boleh saya dan adik-adik mahu terus tinggal di rumah kami
di Cheras.
"Di sana ada emak saudara yang boleh menjaga kami. Kalau tinggal di
kampung (tempat asal arwah bapanya di Sungkai) tiada siapa boleh menjaga
kami,” katanya.
Mohd Haikal berkata, sebagai anak sulung, dia sedia menggalas
tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi membesarkan empat adiknya.
Adik bongsu Jefri, Zulianawati Mohd Zain, 32, pula berkata, dia berasa
amat sedih dan hiba kerana kehilangan abang menjelang majlis
perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung 7 Jun depan di Kampung
Rahmat, Changkat Sulaiman, di sini.
Dia yang tinggal di Damansara, berkata, abangnya mengambil berat
tentang persediaan perkahwinannya dengan memastikan semua borang
pernikahan siap diisi dan ditandatanganinya.
“Saya tidak sangka abang tak sempat menyaksikan majlis pernikahan saya.
Dia berpesan supaya majlis perkahwinan saya dilangsungkan secara
sederhana, tak perlu bersanding.
“Sebab itu majlis perkahwinan nanti, saya hanya akan buat kenduri kecil-kecilan tanpa bersanding seperti arwah pinta,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi adik Jefri, Zainah Mohd Zain, 44, berkata,
dia dan adik beradiknya tidak tergamak memisahkan Mohd Haikal, Fatin
Adlina, 14; Mohd Aidil, 10; Norshamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3.
Katanya, Norshamini dan Nor Auni Safia amat rapat dan tidak boleh
berenggang, jadi mereka mahu kesemua anak Allahyarham Jefri dan
isterinya, Noorsalawati Ibrahim, 40, membesar bersama.
Menurutnya, walau apa pun kesukaran bakal ditempuhinya untuk menjaga
kelima-lima anak saudaranya itu, dia tidak mahu mereka dihantar ke rumah
anak yatim.
Katanya, dia dan adik-beradik lain akan berbincang menentukan siapa
bakal menjaga Mohd Haikal serta adiknya dan adakah mereka akan menetap
di Cheras atau kampung.
“Buat masa ini kami belum buat keputusan siapa yang akan jaga mereka.
Tunggulah selepas majlis tahlil arwah abang saya ini selesai, barulah
kami akan berbincang.
“Kemungkinan besar kelima-lima anak saudara kami ini akan menetap di
Cheras kerana arwah bapa mereka memiliki rumah di situ,” katanya.
Home »
» KAMI TIDAK MAHU BERPISAH - YATIM PIATU
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !